Skip to main content

Adat : Adakah Suatu Kepentingan?


Adat : Adakah Suatu Kepentingan?


Menurut Ilmu Sosiologi, budaya merupakan salah satu unsur penting dalam memahami sesebuah masyarakat. Budaya juga didefinisikan oleh E. Taylor sebagai “sistem kompleks yang mencakup pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat dan kemampuan-kemampuan yang lain yang boleh didapatkan oleh manusia sebagai anggota masyarakat”. Pendefinisian ini secara langsung menyebutkan adat sebagai salah satu perbahasan yang membentuk budaya sesuatu masyarakat.


Definisi adat menurut Kamus Dewan ialah “peraturan yang sudah diamalkan secara turun-temurun sejak dahulu kala dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi”. Apabila disebutkan tentang hukum dan peraturan maka ianya sinonim dengan agama ataupun syariat. Agama pula diertikan oleh Dr. Darraz sebagai “ketentuan Tuhan yang memandu kepada kebenaran pada kepercayaan dan kepada kebaikan pada tingkah laku dan muamalat”.


Secara kasarnya, adat dan agama mempunyai tujuan yang sama iaitu mempengaruhi tingkah laku manusia. Kedua-duanya mempunyai ketetapan nilai baik atau buruk pada sesuatu perkara. Namun penentu penilaian tersebut berbeza sebagaimana adat diterapkan oleh manusia secara turun-temurun sebaliknya agama ditentukan penilaiannya oleh Allah S.W.T. Adat juga bersifat lebih eksklusif pada kaum atau bangsa tertentu berbanding agama Islam yang lebih inklusif merentasi tempat dan zaman.


Sudah terang lagi bersuluh, Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W pada 1443 tahun dahulu telah memimpin kehidupan umat sejagat kepada kesejahteraan. Undang-undangnya lengkap merangkumi segala aspek kehidupan. Justeru persoalannya, apakah relevannya lagi adat turun-temurun apabila sudah ada agama yang cukup untuk memandu kehidupan manusia? Bahkan wajarkah lagi diterima pada zaman moden ini?


Hakikatnya, adat bukanlah perkara picisan yang boleh dipandang enteng kewujudannya. Ia telah berakar dalam masyarakat tertentu sehingga membentuk identiti yang membezakan mereka daripada masyarakat lain sama ada ianya baik ataupun buruk. Bangsa Melayu masyhur dengan ajaran budi bahasa dan sopan santun sebagaimana bangsa Arab dikenali dengan bangsa yang kuat dan gagah.


Pemikiran yang cuba menghapuskan nilai-nilai adat adalah doktrin dari barat dalam usaha penglobalisasian timur sebagaimana disebutkan dalam subjek Tayyarat Fikriyyah. Tidak dinafikan bahawa adat mempunyai keburukan dari kaca mata agama. Sesetengah amalan tradisinya menyalahi ajaran agama. Al-Quran juga menyebutkan ancaman-ancaman terhadap golongan yang mengikuti ajaran nenek moyang mereka tanpa berfikir. Bahkan pengamalan agama jika dilakukan hanya sebagai ikutan tanpa memahaminya, ia bukanlah lagi disebut agama tetapi adat!


Dalam ilmu Usul al-Fiqh, adat menduduki posisi penting dalam Islam kerana dapat dijadikan dalil dalam menetapkan hukum. Ini secara tidak langsung mengangkat nilai adat dalam Islam. Datangnya Islam tidak melarang secara mutlak terhadap amalan tradisi masyarakat, bertepatan dengan sifat wasatiyyah, amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam saja yang ditegah.


Hakikat amalan tradisi yang diwariskan sebenarnya bertujuan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masyarakat, sepertimana tujuan Islam yang mengajar akhlak dan moral. Justeru ajaran nenek moyang yang telah hidup lebih lama di tempat kita dilahirkan dan dibesarkan bukanlah perkara sia-sia tanpa makna. Ia adalah jati diri masyarakat kita, kebanggaan dan kecintaan kita.

Comments