Skip to main content

Solat #1

 Rukuk. Sujud. Tak pernah aku mengerti apa ertinya perbuatan itu. Perbuatan yang diulang beberapa kali dalam satu kitaran lengkap yang disebut sebagai rakaat. Lima kali sehari, bahkan ada sesetengah muslim yang melakukannya lebih daripada biasa.

Mungkinkah ia hanya ritual, sama seperti kebiasaan ritual agama lain? Atau ia hanya suruhan atau paksaan dari Tuhan semata-mata? Atau ia hanya amalan peninggalan Utusan Terakhir umat manusia?

"Apa ertinya menjadi hamba, jika tidak mengabdikan diri kepada Pencipta?"

Sentapan pertama yang membawa makna. Di kala aku memulai perjalanan 'mencari' Dia. Makna pertama di sebalik rukuk sujud yang misteri. Pengabdian.

////////////////////////////////////////

Cordova. Saat itu aku dijemput hadir ke 'rumah' seorang atuk tua. Sempena cuti musim panas yang baru bermula usai exam semester, Sepanyol merupakan tempat pertama 'mangsa' holiday ku.

"Ustaz dari mana?"

Tersentak aku dibuatnya. Atuk tua ini fasih berbahasa melayu!

"Err..ana min jordan. Darostu fihi", jawabku teragak-agak. Kalau cakap dalam bahasa melayu, takut tak faham pulak dia nanti.

Atuk tua itu tergelak. Gusinya jelas kelihatan tanpa gigi.

"Atuk orang Malaysia jugak, cu.."

Sekali lagi kejutan diberi. Mukanya persis orang Sepanyol tanpa ciri2 kemelayuan. Aku tersengih sendiri.

Adam Sanz. Anak kelahiran Malaysia tetapi sudah menetap di sini sejak umur 16 tahun. Kini umurnya 66 tahun. Single. Anaknya 3 orang, pergi membawa haluan sendiri. Isterinya pula lari dengan mat saleh lain. Hidupnya menumpang bilik stor masjid. Berkhidmat sebagai tukang bersih masjid. Namun istimewanya atuk tua ini, hari2 keseorangannya dilalui dengan senang hati. Gusinya jarang tidak kelihatan, kata jemaah masjid.

Saat aku tanyakan tentang 'kesepian' yang orang kebiasaan akan rasai dengan hidup sebegini, atuk itu tersengih.

"Solatlah. Jumpa Dia, nanti kamu tak sepi."

Pertemuan. Jawapan kedua memaknai rukuk sujud. Jawapan dari seorang penyendiri.

"Allah sentiasa ada, cu.. jumpalah dia sana", pesan atuk tua itu. Tersenyum, menampakkan gusi.

////////////////////////////////////////

"Solat itu tanda syukur seorang hamba."

Kalau ikutkan otak biasa, apa perlunya Nabi solat. Syurga sudah menjadi jaminan. Baginda juga dijanjikan keampunan. Malah, kekasih Allah lagi.

"Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?”

Itulah jawapan Nabi sewaktu ditanya oleh isteri tercinta.

"Siapa kita untuk dibandingkan dengan Nabi kalau susah sangat nak solat?", suara ustaz Saif tegas. Bergema menggoncang hati.

"Pendosa yang tak nak bersyukur", hati kecilku menjawab.

Tuhan tak pernah berkira nikmat untuk si hamba. Sebaliknya, si hamba papa sering bongkak dengan Tuhan. Jawapan ketiga memaknai rukuk sujud.

////////////////////////////////////////

Saat itu dunia terasa seakan digoncang kuat. Langit bagai hendak runtuh sebelum waktunya. Kakiku sudah tidak tahan untuk berdiri lagi. Apatah lagi hati, hancur lemah tak berdaya.

"Muslim, Safwa kemalangan nak..dia tengah tenat sekarang", suara ibu kedengaran tersekat-sekat, diikuti esak tangis dan sedu.

Seluruh badanku bertukar lemah. Henset terlepas dari genggaman tangan. Segala impian yang ku hajatkan terasa musnah, hancur berantakan. Impian untuk hidup bersama dia, bidadariku. 4 tahun usahaku untuk bersabar, mempersiapkan diri terasa sia-sia. Pesan terakhir Safwa 4 tahun lepas muncul berbisik.

"Berikan saya masa untuk mempersiapkan diri. Hubungan pertunangan ni masih belum menghalalkan batasan yang Allah tetapkan antara kita. Sama2 lah kita buru cinta Allah dulu ye.. kalau benar cinta, mesti mahu sampai ke syurga".

Aku terlutut di tengah khalayak. Air mataku mulai berderai. Skrin jadual penerbangan pesawat menyatakan pesawat penumpang ke Malaysia yang akan aku naiki delayed 3 jam. Aku hendak sangat menjerit saat ini. Sakit sekali rasanya. Apakah aku sempat bertemu dengan Safwa buat kali terakhir? Setelah 4 tahun aku berpuasa daripada berhubung dengan dia. Mengapa Tuhan menetapkan semua ini berlaku? Apakah usahaku masih tidak cukup untuk menjadi hambaMu yang taat?

Aku cuba bertahan, memujuk hati bahawa ini adalah ujian Allah. Sungguh, ini adalah ujian Dia.

"Solatlah, kalau kau rasa lemah. Allah sentiasa menanti doa, rintihan, rengekan, luahan hati hamba2 Dia"

Suara Aizan berbisik. Saat terbaik nasihat itu muncul sewaktu aku benar2 memerlukan jawapan.

Akhirnya, aku benar2 'Solat'. Menyerahkan diri sepenuhnya pada Sang Pencipta. Merintih merayu pada Maha Kuasa. Mengakui diri ini lemah tak berdaya, tiada apa2 adanya. Merasakan Tuhan itu benar2 dekat saat ini. Hanya Dia yang memahami aku, hambaNya yang alpa.

Jawapan keempat memaknai rukuk sujud. Terjawab melalui diriku sendiri. Solat adalah pengabdian, pertemuan, kesyukuran dan sumber kekuatan dari Yang Maha Esa.

"Kerana solat adalah 'hadiah teristimewa' dari Tuhan."

Comments